17 August, 2011

Saranghae Ukasyah! - Bahagian 3



Ukasyah meraup muka selepas usai membaca doa. Dia baru mengerjakan solat sunat rawatib ba’da zohor di masjid berdekatan taman perumahannya. Dia merenung sejadah. Sudah dua hari dia duduk di rumah sempena cuti akhir semester. Sebelum pulang bercuti, dia sudah memasak niat di hati mahu mendidik keluarganya ke arah yang baik.

Tetapi, baru dua hari ini saja, dia terasa tidak kuat. Benarlah, mahu memdidik hati manusia ini, sangat memerlukan kesabaran. Dia akui itu. Dia sangat menyayangi keluarganya. Sangat.
Melihat adik-adiknya yang masih tak faham, yang tak dengar nasihatnya, dia jadi geram.

Tidakkah mereka tahu bahawa dia tak mahu hidup mereka tiada tujuan? Dia mahu keluarganya faham betapa manisnya apabila diri hidup dengan hidayah daripada Allah swt. Seperti yang dia alami sekarang ini.
Dulu, dia juga seperti adik-adiknya. Tapi kini, dia lain apabila sudah disapa tarbiyah. Dan dia mahu adik-adiknya juga seperti dirinya atau lebih baik lagi.

“Ya Allah, sesungguhnya Kaulah yang memegang hati-hati mereka. Maka, kurniakanlah mereka kefahaman tentang agamamu. Sungguh, aku hanyalah hambaMu yang lemah”
Ukasyah memejamkan mata. Hati sebak. Dia meraup lagi muka. Mata sudah berair.
Benar. Dia sangat menyayangi keluarganya. Dia tidak mahu keluarganya menjadi bahan bakar di akhirat kelak. Dia perlu sabar. Walau adik-adiknya selalu tak mendengar kata, dia mahu terus usaha.

Ukasyah mengangguk.

Ya, dai’e tak boleh putus asa. Orang yang putus asa sangat dimurkai Allah. Hamba-hambaNya yang berdosa akan berusaha untuk meminta keampunan Allah swt. Tetapi orang-orang yang berputus asa, pasti meyalahkan Allah seterusnya hidup dalam murka Allah swt. Na’uzubillah!
Ukasyah bangun dari tempat solat dan melangkah ke arah Taqiuddin yang bersandar ke dinding masjid sambil mengaji.

Mereka datang ke masjid itu bersama-sama. Dia duduk di sebelah Taqiuddin hingga bahu mereka saling bersentuhan. Lama dia berdiam diri sedangkan Taqiuddin masih mengaji.
Taqiuddin memandang sekilas Ukasyah sebelum dia menghabiskan bacaan Al-Quran.
Semacam saja ikhwahku ini? Taqiuddin bermonolog.

“Syah?” Taqiuddin menegur Ukasyah yang bersandar ke dindng masjid sepertinya.

“Hm?”

“Kau ada masalah?”

Ukasyah menghelakan nafas. Matanya merenung dalam mata bundar Taqiuddin. “Susah kan nak didik manusia?”
Mata ditalakan ke hadapan semula.
Taqiuddin tersenyum.

“Kau pun tahu, aku kalau bab family ni aku cukup sensitive. Aku..aku..rasa macam susah sangat nak didik adik aku.” Ukasyah meluah rasa. “Aku nak mereka hidup bertujuan.”

Taqiuddin menghela nafas. Juga menala pandangan ke hadapan.

“Syah, dengar sini.” Taqiuddin meraih bahu Ukasyah.

“Mereka itu tak faham macam apa yang kita faham. Alhamdulillah, kita ini Allah swt beri kita kefahaman tentang Islam. Kefaqihan tentang agamanya. Allah pilih kita Syah. Cuba kau bayangkan apa yang kita buat sekarang andai Allah swt tak beri kita kefahaman dan kefaqihan tentang Islam melalui tarbiyah?”

“Sabarlah, Syah.” Taqiuddin tersenyum sambil memandang Ukasyah yang menunduk memandang karpet masjid.

“Bukan salah mereka jadi begitu. Mereka tak faham. Jadi sebelum kita suruh mereka buat baik, kita beri kefahaman dulu. Kalau kita nak mereka solat berjemaah dan pada awal waktu, beri mereka penjelasan tentang itu. Andai kita nak mereka mengaji walaupun hanya satu muka surat sehari, beri mereka kefahaman tentang kelebihan Al-Quran contohnya. InsyaAllah Syah, bila mereka faham, mereka akan berbuat.”

“Perlahan-lahan kau ajar berserta doakan mereka sentiasa. Hati mereka milik Allah. Allah yang pegang hati mereka. Jadi, serahkan usaha kau pada Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati. Hanya padaNya kita serahkan segala-galanya.”

Taqiuddin melihat beberapa titis air jatuh ke karpet. Tahulah dia bahawa Ukasyah sedang menangis. Dia tahu, Ukasyah sangat menyayangi keluarganya. Dapat dilihat melalui hadiah yang dibawa setiap kali pulang bercuti dan panggilan ke rumah hampir setiap hari semasa mereka di asrama.

“Tapi aku tak tahan betul bila adik aku tengking-tengking aku. Aku sebagai abang kadang-kadang tu rasa tak dihormati..rasa macam ..macam aku ni dipijak-pijak saja.”

“Syah kau tahu..” Taqiuddin membetulkan duduk sebelum menyambung bicara.
Ukasyah masih setia disisi.

“Bagi akulah kan. Kalau kita nak selesaikan masalah ni, kita tengok uswatun hasanah kita, Rasulullah saw. Masalah kau ni lagi simple sebenarnya kalau nak dibandingkan dengan apa yang telah dialami oleh ramai manusia terdahulu yang menyokong Islam ini. Mereka ialah para nabi dan Rasul. Masalah mereka lagi dahsyat dan sadis hingga ada yang mati dibunuh.” Ujar Taqiuddin lalu menyorot kisah nabi-nabi terdahulu.

“Nabi Nuh, Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Lut misalnya dituduh gila kerana mengajak umat mereka beriman kepada Allah swt. Pada zaman Nabi Isa a.s, baginda telah memerangi golongan pemakan riba, kesannya, golongan ini membuat pakatan untuk menyalib baginda a.s. Nabi Ibrahim a.s pula pernah dibakar hidup-hidup oleh Raja Namrud kerana menyeru umatnya mengesakan Allah swt. Begitu juga Nabi Musa a.s, dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya yang tidak dapat menerima seruan dakwah baginda. Tetapi semua mereka terus menyampaikan dakwah tanpa berputus asa.

“Kalau tengok siroh junjungan mulia kita, Nabi Muhammad saw lagilah sedih, Syah. Selama 13 tahun Baginda saw berdakwah di Makkah dengan bekalan sabar dan tawakkal. Masa itu, ramai sahabat yang terkorban antaranya keluarga Yasir dan Sumayyah kerana mempertahankan Islam. Sayidina Bilal bin Rabah juga telah dibaringkan di padang pasir yang terik. Bukan takat tu saja, orang Musyrikin letak pula batu besar atas badannya just sebab Sayidina Bilal memeluk agama Islam.”

“Dan disebabkan kau pernah baca buku Sirah Nabawiyah, aku nak tanya kau, apakah tindakan nabi saw masa itu? Apakah baginda menyuruh para sahabatnya membalas dendam atau memerangi kezaliman Musyrikin Makkah?”

“Tidak, bahkan Baginda hanya menyuruh para sahabatnya bersabar dan memilih akhirat. Pada waktu itu, umat Islam masih sedikit untuk bangkit melawan puak Musyrikin.” Ukasyah menjawab dengan nada sayu.

Lemah benar aku ini. Baru ujian sebegini aku sudah fragile. Adus.

Alhamdulillah. Taqiuddin senyum walaupun Ukasyah disebelah masih berkerut mukanya.

“Suatu waktu, ketika nabi saw menunaikan solat di Kaabah, Abu Jahal mengupah pengikutnya mengumpul najis-najis dan dilemparkan ke badan baginda saw. Nabi saw tidak sedikit berasa marah atau dendam, baginda hanya berdoa kepada Allah dan bersabar. Saat Nabi saw keluar dari rumahnya, terdapat duri dan najis yang diletakkan oleh Abu Jahal dan isterinya. Nabi saw tidak sesekali menyuruh anak-anaknya membalas kejahatan Abu Jahal, baginda saw bersabar dan terus berdoa kepada Allah swt.

Macam itu juga masa nabi saw menyeru penduduk Taif kepada Allah, kasut baginda saw dipenuhi darah akibat dibaling batu oleh penduduk yang ingkar. Yang dibalas oleh Nabi saw hanyalah doa, moga anak cucu kaum yang menentangnya itu akan menerima Islam pada kemudian hari.

“Syah, kau tahu tak apa kesannya Nabi Muhammad saw bersabar menyampaikan dakwah?” Tanya Taiquddin dengan mata yang sudah berair. Sedih dan terharu dengan penderitaan Nabi Muhammad saw hanya semata-mata untuk menyampaikan Islam kepada umatnya.
Ukasyah mengetap bibir. Dia menarik nafas sebelum menjawab soalan Taqiuddin.
“ Kesannya ialah kita pada hari ini juga dapat memeluk agama mulia ini, betul kan Qi?”
Taqiuddin mengangguk dengan senyuman. Tanda mengiakan jawapan Ukasyah sebentar tadi.

“Dan aku rasa, andai Rasulullah saw dulu menyerah kalah atau merajuk dengan sikap kaum Musyrikin, for sure Islam tak akan sampai kat aku macam hari ini.” Ukasyah menyambung katanya tadi.

“Betul tu. Lagi satu Syah, Islam takkan biarkan umatnya dizalimi setiap masa. tapi, umat Islam hanya boleh melawan jika mereka memiliki kekuatan dan strategi. Contohnya, apabila baginda saw membuka negara Islam Madinah, pada waktu itulah baginda melatih para sahabatnya menjadi tentera Allah untuk berjuang di medan jihad. Ketika itu juga, Islam telah memiliki sistem politik, pendidikam, ekonomi, pentadbiran, hubungan luar dan negaranya sendiri.

“Bila renung kembali sirah baginda saw, sayu percaya hati kita kembali tenang untuk menyebarkan kebaikan. Sabda nabi saw: “Sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat.” Maka tugas kita hendaklah menyampaikan kebaikan yang dibawa oleh baginda saw. Aku kira kau pun tahu cara-cara yang boleh kita suruh orang lain melakukan kebaikan. Pertama, menggunakan kuasa (tangan), kedua menggunakan lidah untuk memberi arahan atau teguran dan yang ketiga, doakan mereka dalam hati. Moga-moga Islam akan terus berlangsungan atas bumi ini. Boleh Syah?” Tanya Taqiuddin.

Ukasyah mengangguk dan tersenyum. Hatinya tidak lupa untuk berselawat ke atas Rasulullah saw yang banyak berjasa kepada seluruh umat manusia. Wajahnya yang berkerut sebentar tadi berubah tenang.

“Sebelum tu aku nak tanya, kau tahajud tak malam tadi?”

“Tak.” Ukasyah memberi jawapan sambil bibirnya tersengih gaya bersalah.

“Ha, tengok tu. Adeh, Syah. Macam mana nak ketuk hati manusia lain kalau hubungan kita dengan Allah pun longgar?”

Ukasyah mengaru-garu kepala. “Aku tahu. Tapi bila duduk rumah ni ditambah lagi tak ada ikhwah di sisi, aku jadi lemah sikit. Tak ada yang ikhwah nak tegur dan motivate aku la Qi”.

“Serahkan saja alasan kau tu pada Allah.” Taqiuddin sudah bangun dan bergerak untuk keluar masjid.

“Hah apa Qi? Aku tak clear”. Ukasyah mengejar Taqiuddin.

“Cuba kau serah alasan kau tadi pada Allah. Agak-agaknya Allah terima tak alasan tu?”

Mata Ukasyah bersinar.

A’ah kan. Banyak bagi alasan pula aku ni.

“Jom, aku nak bagi kau satu buku ni. Kasi khatam tau. Buku ni banyak membantu membina sifat-sifat rabbani dalam diri kita.” Taqiuddin bergerak ke kereta untuk mengambil buku yang disebutkan tadi.



1 comment:

Ummu Syaheed said...

ukhti...ana pun belajar nak buat cerpen..teruskan usaha, berdakwah melalui cerpen sgt menarik